Kahwin
Tetapi mengapa lelaki tidak memahami impian dan kehendak wanita? Bila diajak berkahwin, 1001 alasan yang diberi. Macam-macam! Sehingga ianya membuatkan para wanita berasa menyampah dan muak dengan alasan-alasan yang diberikan.
Kenapa perkara ini terjadi? Adakah sememangnya lelaki tidak mahu berkahwin dengan si wanita tersebut? Atau lelaki menganggap wanita seolah-olah alat permainannya sahaja?
Jom kita tengok alasan-alasan popular yang sering digunakan oleh para lelaki bila si wanita mengajak mereka berkahwin:-
7 Alasan Lelaki Menolak Ajakan Wanita Untuk Berkahwin
Saya Masih Belum Bersedia Untuk Berkahwin
Seringkali para lelaki menggunakan alasan ini. Katanya, dia masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab yang besar sebagai seorang suami dan juga bapa. Jika di minda mereka sendiri sudah disetkan kepada, “Aku tak bersedia lagi untuk berkahwin”, maka sampai bila-bila pun mereka tidak akan bersedia.
Saya Tak Ada Duit
Alasan ini juga amat popular di kalangan lelaki apabila si wanita bertanyakan bilakah si dia hendak masuk meminang dan mengahwininya. Katanya kos nak kahwin sekarang mahal dan simpanan yang ada pun belum tentu lagi cukup.
Macamana nak cukup jikalau si lelaki sendiri tidak cuba menyimpan duit malah seringkali menghabiskan duit ke tempat lain. Terutamanya buat mereka yang mempunyai hobi yang melibatkan kos yang tinggi seperti permotoran. Beli spare-part itulah, modified enjin keretalah dan macam-macam lagi.
Keluarga Awak Macam Tak Suka Saya
Oh, mengapa anda wahai lelaki tidak mencuba untuk menambat hati keluarga si perempuan? Sedangkan si lelaki baru sahaja berjumpa sekali dengan keluarga si wanita dan itupun hanya untuk seketika ketika makan malam bersama. Atau ianya sekadar satu lagi alasan yang dibuat-buat oleh si lelaki untuk mengelak daripada berkahwin dengan wanita tersebut?
Sepatutnya si lelaki cuba untuk menambat hati keluarga si perempuan sepertimana si lelaki cuba mengayat dan menambat hati si wanita sewaktu hendak berkenalan mula-mula. Dimulakan dengan salam, sedikit jenaka dan kata-kata manis. Bukankah begitu akan membuatkan keluarga sebelah si perempuan mudah untuk menerima anda kan?
Saya Ingin Kecapi Cita-cita Dan Impian Saya Dahulu
Katanya banyak lagi impian dan cita-cita yang dia ingin kecapi. Kata si dia lagi, dia ingin membeli kereta idaman, rumah besar dan mempunyai gaji yang lumayan terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan si wanita. Tapi, jikalau dilihat dari segi gaya pemikiran dan usahanya, ia langsung tidak mencerminkan keinginan seperti yang si lelaki sebutkan tadi.
Mungkin si lelaki tidak tahu yang sebenarnya bila mereka sudah berkahwin, mereka akan menjadi semakin membara untuk mencapai cita-cita dan impian kerana dorongan kasih sayang dari isteri yang mereka cintai.
Ibubapa Saya Dah Tentukan Jodoh Saya
Habis untuk apa si lelaki berkasih-sayang dan merindu dengan anda selama ini jikalau si lelaki sendiri tidak mahu bertegas dalam mempertahankan cinta anda berdua? Si dia adalah lelaki! Seharusnya si dia kena tunjukkan bahawa si dia juga mampu memilih jalan hidup sendiri.
Memang betul kita tidak boleh menderhaka kepada ibubapa kita. Tapi, pokoknya disini siapa yang mahu berkahwin?
Saya Nak Hidup Bebas Dahulu
Ramai orang yang dah kahwin berkata kepada orang bujang supaya jangan kahwin dahulu. Alasannya? Sebab nanti bila dah kahwin, si lelaki tidak bebas samada bebas berjalan ke mana mereka mahu pergi mahupun dalam melakukan aktiviti yang disukai. Sebenarnya ini adalah alasan yang paling lapuk! Mereka tidak menghayati keindahan sebenar sesebuah perkahwinan itu.
Fakta yang sebenarnya adalah perkahwinanlah yang membuatkan sesuatu kebebasan itu berasa indah. Contohnya, pulang berhari raya di kampung. Mungkin sebelum ini anda pulang keseorangan dengan ditemani lagu-lagu hari raya yang diputarkan diradio, tapi selepas berkahwin, ada wanita yang dicintai menemani kesunyian si lelaki sepanjang pulang ke kampung. Wah, bukankah best begitu!
Saya Takut Perkahwinan Dibina Berkecai
Memang diakui ada sebilangan lelaki yang takut untuk berkahwin kerana takut kebahagiaan yang mereka bina itu musnah ditengah jalan. Ianya adalah mimpi ngeri bagi mereka apabila kehilangan orang tersayang. Dan mereka berasa cukup selesa walaupun sekadar dengan gelaran ‘boyfriend’ dan ‘girlfriend’.
Mungkin juga mereka mempunyai persepsi gelap dalam perkahwinan apabila melihat perkahwinan yang dibina ibubapa mereka bergolak dan musnah sewaktu mereka kecil dan kehidupan mereka menjadi bertambah sukar selepas itu. Tapi ianya boleh diubah sekiranya si lelaki sentiasa berfikiran positif dan cuba memahami hati si wanita yang rumit. Tidak adalah kemanisan dalam perkahwinan sekiranya tidak diserikan dengan gaduh-gaduh manja kan? Ada sesetengah pasangan lepas gaduh je dapat anak.. Hehe :D
Kesimpulan
Wanita ini kadang-kadang bukannya rumit sekiranya si lelaki boleh membaca isi hati mereka dari reaksi muka dan tingkah laku mereka.
Wahai lelaki, janganlah takut untuk berkahwin kerana perkahwinan itu sebenarnya adalah pembuka rezeki dan pintu kebahagiaan anda. Janganlah mudah berkata dan memberikan alasan-alasan kerana jika anda betul menyayangi dan mencintai wanita anda, anda patut segerakan perkahwinan antara anda berdua. Tidakkah anda takut sekiranya si dia dilamar oleh orang lain sebelum anda?
Sekiranya niat kita itu ikhlas kerana agama, Insyallah Dia akan mempermudahkan segala urusan anda.
0 ulasan:
Catat Ulasan