Ditemui selepas pernikahan itu, pasangan yang memilih tema putih biru ini berkata selama lapan tahun itu, mereka hanya berkawan biasa tanpa ada sebarang perasaan cinta. Namun, semuanya berubah sekelip mata.
“Selama kami berkawan, saya seronok berada di sisi Shamsul kerana dia seorang yang sangat penyayang, mengambil berat, bertanggungjawab dan amat memahami diri saya.
Foto
HANNY dan suami bergambar selepas majlis pernikahan mereka di Masjid Bukit Antarabangsa, Sabtu lalu
“Hubungan kami semakin rapat pada Ogos 2011 dan tanggal 14 Julai tahun lalu, Shamsul menghantar rombongan keluarganya datang ke rumah bertemu mama untuk merisik saya.
“Sememangnya, saya tidak pernah menyangka hubungan kami yang pada dasarnya hanya berkawan biasa akhirnya hari ini (Sabtu lalu) sah sebagai suami isteri,” katanya.
Menurut anak bongsu kepada penerbit filem dan drama terkenal, Julie Dahlan ini lagi, sepanjang lapan tahun saling mengenali suaminya, mereka pernah berjumpa empat kali saja.
“Apapun, saya anggap semua ini takdir kami untuk bersatu dalam ikatan perhubungan yang sah di sisi agama Islam. Saya akan berusaha menjadi isteri yang baik buat Shamsul.
“Saya sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Tuhan mempertemukan kami dan seterusnya memanjangkan jodoh kami sehingga ke fasa hidup bersama di alam rumah tangga,” katanya
Pada majlis pernikahan itu, Hanny yang diwalikan bapanya, Harmi Harun, 65, dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Kariah Bukit Antarabangsa, Ustaz Abdul Hakim Al-Hafiz.
Hanny yang mengakui sangat berdebar tatkala menanti saat dia selamat diijab kabulkan dengan Shamsul, menerima wang hantaran RM20,000 berserta mas kahwin, RM300.
Pasangan merpati dua sejoli ini juga turut bertukar-tukar dulang hantaran membabitkan tujuh daripada pengantin lelaki berbalas sembilan oleh pihak perempuan. Antara hantaran pasangan ini ialah tepak sirih, Al-Quran, telekung, kain pasang, kasut wanita, tas tangan, kasut lelaki, produk wangian, set barang kemas dan buah-buahan.
Menyentuh soal kariernya, Hanny berkata selagi diizinkan oleh suami, dia akan terus terbabit di dalam bidang seni. Pun begitu, katanya dia sebenarnya lebih sibuk menguruskan kerja di belakang tabir.
Hanny kini berstatus adik ipar Hattan
Mengulas mengenai statusnya yang kini sudah menjadi salah seorang anggota keluarga penghibur terkenal negara, Datuk Hattan, pelakon drama Roda-Roda KL ini berkata Hattan adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan dia dan suami.
“Saya kenal Shamsul daripada abang Hattan. Jadi, sejak kami mula berkawan lagi saya memang tahu Shamsul adik bongsu Hattan dan ia nyata tidak memberi masalah kepada kami.
“Apa yang pasti, memiliki ahli keluarga yang terbabit dalam bidang seni sebenarnya membantu Shamsul lebih memahami saya dan hubungan kami akhirnya sampai ke matlamat utama ini (perkahwinan),” katanya.
Menurut Hanny, dalam satu perhubungan apa yang penting adalah restu. Justeru, dalam soal ini nyata hubungan cinta terjalin antaranya dan Shamsul mendapat restu kedua-dua belah pihak.
Shamsul yang ditanya mengenai pandangannya terhadap Hanny berkata dia jatuh cinta kepada isterinya itu kerana terpaut dengan sikap Hanny yang sederhana, ceria, mudah mesra, penyayang, senang dibawa berbincang dan sangat memahami dirinya.
Berbicara mengenai bulan madu, pasangan ini tanpa berselindung memaklumkan mereka merancang akan bercuti ke Pulau Bali, Indonesia dulu selepas sambutan Aidilfitri ini, manakala pada hujung tahun akan berangkat melancong ke Eropah pula.
Shamsul yang bekerja dengan syarikat minyak dan gas Dayang Sdn Bhd itu, turut sepakat dengan keputusan isterinya tidak merancang keluarga. Bagi mereka, jika Tuhan kurniakan cahaya mata lebih cepat, itu lebih bagus.
0 ulasan:
Catat Ulasan