Nilai: Tujuh individu termasuk empat lelaki dan dua wanita warga Nigeria ditahan sepasukan anggota polis Bukit Aman di sebuah rumah di Bandar Universiti Teknologi Mantin, di sini, selepas disyaki mendalangi sindiket penipuan ‘Nigerian Parcel’ dan ‘Love Scam’, kelmarin.
Sumber berkata, suspek berusia 21 hingga 33 tahun itu dicekup dalam Op Tiang sebaik memperdaya seorang pegawai syarikat penghantaran barang di Klang, Selangor antara Mei hingga Jun lalu.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa, wanita berusia 37 tahun kerugian lebih RM75,000 apabila memasukkan wang secara berperingkat di sebuah bank di Jalan Batu Unjur, Bukit Tinggi, Klang.
Menurutnya, suspek mengenali mangsa menerusi laman sosial sebelum mendakwa menetap di United Kingdom dan mahu memberikannya hadiah.
Beliau berkata, untuk mendapatkan hadiah bernilai AS$150,000 (RM600,000), mangsa diminta memasukkan wang secara berperingkat sehingga jumlahnya mencecah lebih RM75,000.
“Pada hari terakhir menuntut hadiah, suspek tidak menjawab panggilan menyebabkan mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang pada 15 Jun lalu.
“Berdasarkan laporan, polis mengatur strategi sebelum menahan seorang wanita tempatan berusia 25 tahun di sebuah premis di Mantin semalam (kelmarin).
“Penahanan wanita itu membolehkan enam lagi suspek warga Nigeria ditangkap di sebuah rumah di Bandar Universiti Teknologi Mantin kira-kira jam 4 petang,” katanya.
Sumber berkata, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sebelum itu memburu suspek di Puchong, Selangor, namun mereka melarikan diri ke Mantin.
“Ketika ditahan, suspek cuba melawan hingga berlaku pergelutan, namun mereka diberkas,” katanya.
Katanya, polis merampas pelbagai telefon bimbit, komputer riba, kad bank dan kad kredit.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun Twitternya mengesahkan tujuh individu termasuk enam warga Nigeria yang mendalangi sindiket itu ditahan.
0 ulasan:
Catat Ulasan