Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, perlumbaan tersebut melibatkan kereta Toyota Estima berwarna kelabu dan kereta Honda Integra berwarna putih. Pemandu kedua-dua kenderaan itu tidak dapat dipastikan identitinya kerana cermin kenderaan mereka gelap.
Sementara kenderaan yang dilanggar ialah Perodua Myvi, Perodua Axia, Peugeot, Honda dan Kia Carens.
Menurut saksi kejadian, Muhammad Norhadi Muhammad, 21, kedua-dua kenderaan tersebut dilihat mula berlumba di hadapan pusat beli-belah Metro Mall.
“Ketika sampai di simpang sebelah kiri berhampiran kedai serbaneka 24 di Jalan Metro Pudu, kereta Toyota Estima terlibat telah melanggar Honda Integra menyebabkan kereta tersebut terbabas dan melanggar dua kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.
“Honda Integra itu kemudiannya mengundur dan terus memecut ke arah laluan bertentangan diikuti Toyota Estima sebelum kedua-duanya melanggar tiga buah kenderaan lagi ketika membuat pusingan ‘U’ di hadapan Metro Mall. Kedua-dua kereta tersebut kemudian dipecut laju meninggalkan lokasi kejadian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammad Norhadi memberitahu, pemandu sebuah kereta Perodua Myvi yang terlibat dalam pelanggaran terbabit cuba mengejar kedua-dua kenderaan tersebut namun tidak berjaya.
Seorang lagi saksi yang dikenali sebagai Mahend berkata, kejadian tersebut seperti aksi filem kerana kedua-dua kereta bergerak pantas walaupun selepas terbabas dan melanggar kenderaan lain beberapa kali.
Katanya, dentuman kuat menyebabkan dia keluar dari premis berhampiran untuk melihat apa yang berlaku.
“Pada mulanya, saya ingat kemalangan dan ingin membantu, tetapi selepas kereta Honda Integra tersebut mengundur, saya hanya berdiri kaku kerana bimbang sekiranya pemandunya geng samseng dan mempunyai pistol,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif ketika dihubungi memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian.
0 ulasan:
Catat Ulasan