"Ini bermakna sekali lagi Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan dana rakyat untuk berhutang bagi tujuan menutup kelemahan pentadbiran beliau.
"Saya khuatir jika ValueCap diarahkan untuk membeli saham-saham dari syarikat-syarikat yang berkepentingan rapat dengan Umno-BN bagi tujuan membuat keuntungan jangka pendek kepada mereka yang berkepentingan itu," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan bahawa pentadbiran beliau akan memperuntukkan RM20 bilion kepada ValueCap Sdn Bhd untuk membeli saham-saham di Bursa Kuala Lumpur bagi tujuan merangsangkan pasaran saham negara.
Beliau juga mendakwa, jika ValueCap dipaksa berbuat demikian, maka dana rakyat melalui Khazanah, PNB dan KWAP akan digunakan untuk menyelamatkan mereka yang berkepentingan dan rapat dengan Umno-BN.
"Bagi menyediakan dana sebanyak RM20 bilion untuk membeli saham-saham yang jatuh kerana sentimen pasaran yang lemah, ada kemungkinan besar ValueCap terpaksa menerbitkan bon yang besar.
"Masalah sentimen yang lemah terhadap saham-saham di Bursa Kuala Lumpur tidak akan selesai selagi masalah 1MDB dan krisis kredibiliti Najib tidak diselesaikan segera," ujarnya.
Rafizi turut mempersoalkan Najib apabila rakyat masih tidak dimaklumkan tentang dari mana sumber kewangan tersebut yang diperolehi kerajaan untuk disuntik ke dalam ValueCap.
"Umum mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia telah berdepan dengan defisit belanjawan sejak 1999 dan tidak mungkin mempunyai ruang fiskal untuk memperuntukkan sejumlah RM20 bilion bagi tujuan yang diumumkan semalam," dakwanya.
ValueCap adalah sebuah syarikat pelaburan saham yang dimiliki secara sama rata di antara Khazanah, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).
Sehubungan itu, Rafizi akan memfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian untuk memisahkan jawatan Menteri Kewangan dari Perdana Menteri.
"Hanya dengan peletakan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan barulah Bursa Kuala Lumpur ada harapan untuk pulih," katanya lagi
0 ulasan:
Catat Ulasan